28 January 2013

B.e.L.a.H.a.N.j.I.w.A



Kalau masa di Universiti dulu, D akan ternanti-nanti setiap hujung semester. Mengira-kira jumlah cuti-cutian hari yang nanti akan terbongkang menghadap peti televisyen, mengheret tilam ke dasar ruang tamu, menghenyak sepuasnya badan bergelimpangan di ruang depan rumah, meminta-minta menu yang kononya terlepas untuk empat bulan yang lepas-lepas, melahap setiap hidangan dengan sendawa dihujung suapan.

Setiapnya ini… 
Tanpa perlu memikir baju berlonggok tak berbasuh, tanpa perlu serabut nafsu mengenang menu hidangan di dewan makan yang kadang kala tidak mencapai piawaian selera nan rakus, tanpa perlu menjenuh heret seret baldi takungan air bila hostel didatangi masalah bekalan air, tanpa perlu berpanas hujan melangkah gagah ke dewan kuliah, tanpa perlu runsing mengejar dateline mensubmit assignment.

Untuk tempoh dua bulan itu, pastinya setiap hendak selera D dipenuh dengan jaya, setiap siaran rancangan mengikut mahu D. Mereka yang lain pasti patuh menurut mengenang kenang empat bulan lalu lepas itu tidak dinikmat rakus oleh D.

Walau tempoh dua bulan tidak bersisa dengan mahu hendak melancong ke serata pelusuk, kerana kami kami semua bukan berduit lebih untuk menabur ke destinasi pelancongan dunia. Kami-kami semua cukup puas dapat meleset sama menjamu makan. Kami-kami semua akan puas dapat bersama-sama hirup udara yang sama di tempat yang sama, walau terkadang udara sama itu disedut dengan bauan busuk kentut antara satu sama lain, kami-kami semua pasti puas berkumpul megah menghilai tawa gelak bertingkah.

Puas.

Dan sekarang, setelah lebih dua tahun meninggalkan nikmat indah setiap berakhir semester menikmat dua bulan menghempap puas badan dan jiwa dengan megah bermalasan di rumah.

Dan sekarang, setelah status bertukar ganti tidak lagi bergelar pelajar sepenuhnya, tidak lagi menjadi milik mutlak keluarga semata-mata. Menanti nikmat dua hari cutian hujung minggu adalah makna yang paling indah untuk ketika ini.

Kerana jiwa terdidik untuk setiap masa yang terluangkan adalah untuk mereka yang tersayang, tempoh dua hari itu akan diusahakan untuk pulang menjengah. Merentasi dua jam perjalanan menjadi kelaziman untuk dua hari itu disetiap yang terlapangkan.

Walau kini, tempoh dua hari itu bukan lagi dapat dipenuh dengan gelempangan menghadap siaran rancangan, melahap rakus hidangan tersedia, dan segala yang lepas laku untuk dua tahun lalu itu. Ia tetap mahu menghadap dua wajah jiwa milik D. Dan terkadang, kehendak hati menidakan B untuk sama menghadap belahan wajah-wajah jiwanya. Sedangkan telah diajar ingatkan oleh ibu abah saat 8 jam sebelum status bertukar ganti kurang lebih lima bulan lalu, bahawa belahan wajah-wajah milik B adalah keutamaan jiwa D. Sungguh, walau dicubakan sebagaimana cara sekalipun, keutamaan yang pertama sukar ditukar milik. Dan dengan sepenuh jiwa juga, ianya diusahakan segigih boleh. Walau tak mungkin ditukar milik, cukup untuk diusaha sama ratakan.

Sungguh, ianya lebih puas.
Puas dengan erti sebenarnya puas.
Puas untuk tatap sendiri sihat ceria mereka.
Puas untuk lihat sendiri senyum sakit mereka.

Puas.

Seusia ini, sehingga kini walau hampir mencecah ke suku abad. Masih belum banyak yang mampu disumbang beri untuk setiap belahan jiwa milik D yang seumur nafas mereka berhempas pulas merealisasikan bahagia D. Walau sehingga kini, belahan jiwa wajah-wajah ini masih sentiasa menghulur bantu untuk jalanan hidup D. Walau belahan jiwa wajah-wajah ini sentiasa tidak alpa mendoakan sejahtera bahagia D.

Tapi tanggungjawab kita semua sebagai yang bernama anak tak habis dengan hanya bagi wang ringgit sahaja. Selalu D ingatkan sepotong Sabda Rasulullah yang bermaksud…


 “ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”



banyak yang boleh diinterpretasikan daripada Sabda ini, antaranya ialah:

i) Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.

ii) Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.

iii) Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menziarahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.

iv) Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar. 

v) Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.




Suatu perkara yang Allah SWT berikan sama rata kepada kita semua adalah masa. Semua orang Allah SWT kurniakan 24 jam sehari. Tak kira kaya, miskin, tua, muda dan sebagainya.

Persoalannya bukan kenapa masa kita macam tak cukup tapi apa yang kita buat dengan masa yang kita ada?

Dan D antara yang paling agung hidupnya kerana sedia maklum, kedua belahan jiwa D dan B, sama seiya rentak mereka.

Mereka sudah cukup puas tersenyum menanti kami menjengah wajah di halaman mereka. 

Mereka sudah cukup puas melihat lahap suapan kami mengisi tembolok hasil air tangan mereka. 

Mereka sudah cukup puas melihat kami tegak berdiri memeluk erat tubuh-tubuh tua mereka.

Beruntungnya D, kerana belahan wajah-wajah jiwa D tidak pernah meminta-minta selain itu. Cukup sekadar waktu lapang kami diruangan mata mereka.

Tidak pernah meminta-minta selain itu.
Cukup sekadar itu pinta mereka.
Malah, kehendak dan mahu D yang akan dan sentiasa masih cuba dilunas tunaikan walau sebenarnya mahu dan hendak mereka-mereka itu adalah tanggungjawab D kini.

Dan semalam,
diberi ruangan peluang bersama big bos turun padang melihat rasa bersama golongan ditinggalkan anak dan saudara di gelandangan berorganisasi ini, hati jadi sayu. Jiwa terus mati terjerut. 

Dan semalam,
melihat tengok senyuman mereka,
D jadi buntu mencerna makna senyuman itu.

Dan semalam,
malamnya sebelum beradu lena mengulit,
terus mengenang untuk masa mendatang,
adakah nanti D juga terorganisasi bersama gelandangan seperti ini.


::mereka yang bergelandangan::



Sayu.

Haru.

Pilu.

Dan sumpah!!!!
Untuk nafas yang diberi, kudrat yang di anugerah.
Tidak akan dirasai pilu mereka itu buat belahan jiwa kesayangan D.

::wajah-wajah belahan jiwa::

::Tuhan, tolong pelihara kesayangan hamba ini:: 
::Dan juga mereka::







:: maaf, untuk tidak pernah dapat memuaskan segala 
hendak mahu semuanya ::

No comments:

Post a Comment