13 February 2013

JAUHKAN PERASAAN UJUB DALAM KEHIDUPAN



Sebelum nukilan terlakar, mohon dimaafkan atas 1001 kata yang mungkin akhirnya membawa balik kepada pantulan diri D. Dan kepada yang merasakan ianya terpantul semula kewajah kalian, mohonlah ianya dilalujauhkan dengan sesegera mungkin.

Sekadar suatu perkongsian untuk manfaat sendiri-sendiri, risau akan kealpaan mendiri. Mohon dijauhkan dari segalanya yang tidak sepatutnya seperti lakaran dibawah ini, iaitu "UJUB"

Apa itu UJUB?

Ujub ialah PERASAAN kagum atas diri sendiri. Merasa diri hebat. Bangga diri. Terpesona dengan kejaguhan diri.

Perasaan UJUB ini sebenarnya boleh datang pada bila-bila masa. 

Contohnya seperti berikut:

1. Orang yang rajin ibadah merasa kagum dengan ibadahnya.
2. Orang yang berilmu, kagum dengan ilmunya.
3. Orang yang cantik/kacak, kagum dengan kecantikannya/kekacakanya.
4. Orang yang dermawan, kagum dengan kebaikannya.
5. Orang yang berdakwah, kagum dengan dakwahnya.
6. Orang yang bijak pandai, kagum dengan kepandainnya.
7. Orang yang berpangkat tinggi, kagum dengan kejayaan dan tinggi pangkatnya.
8. Orang yang petah bercakap dan berpidato, kagum dengan kebolehannya.
9. Orang yang kaya, kagum dengan kekayaan yang dimilikinya.

Sufyan at-Tsauri mengatakan UJUB adalah perasaaan kagum pada dirimu sendiri sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjat daripada sesuatu yang lain.

Muthrif rahimahullah telah berkata, "Kalau aku tidur tanpa tahajud dan bangun dalam keadaan menyesal, adalah lebih baik dari aku bertahajud tetapi berasa kagum dengan amalan tahajud tadi."

Seorang sahabat Nabi Abu Ubaidah al-Jarrah yang menjadi imam. Setelah selesai beliau berkata, "Syaitan sentiasa menghasut aku supaya merasa aku ini lebih hebat dari orang di belakangku. Aku tidak mahu jadi imam sampai bila-bila."

Ingatlah, semua kelebihan adalah anugerah dari Allah, oleh itu kagumlah hanya kepada Allah, bukan diri sendiri, pasangan sendiri, dan keturunan sendiri.

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri."(Surah An-Nisaa', sebahagian ayat 36)

Nabi saw. bersabda, "Apabila seorang lelaki sedang berjalan dengan memakai baju yang kemas dan rambut yang disikat menyebabkan dia rasa kagum dengan pakaian dan dandanan rambutnya (perasan lawa). Lalu Allah tengelamkan dia ke dalam muka bumi dan dia terus ditenggelamkan sampai hari kiamat." (HR Bukhari dan Muslim)

Nabi saw. bersabda, "Ada tiga hal yang dapat membinasakan diri seseorang iaitu kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan UJUB (rasa kagum dengan diri sendiri).". (HR Al-Bazzar dan Al-Baihaqi)

Imam Nawawi rahimahullah berkata,"ketahuilah bahwa keikhlasan niat terkadang dihalangi oleh penyakit UJUB. Sesiapa UJUB dengan amalnya sendiri maka akan terhapus amalnya". (Syarh Arba'in)

UJUB ini adalah penyakit yang melanda semua manusia. Kita terdedah dengan UJUB pada setiap ketika. Semoga Allah bersihkan hati kita untuk menidakkan sifat UJUB ini. Takutnya jika amalan kita yang sedikit ini habis ditelan oleh sifat UJUB.

Antara sifat-sifat yang jelas ada pada seseorang yang terkena penyakit UJUB ini adalah seseorang yang bersikap suka melanggar hak seseorang lain dan memperlekehkan orang lain. 

Malah, Iblis akan dapat menjatuhkan anak-anak Adam dengan salah satu dari tiga sikap ini iaitu:

1. UJUB terhadap diri sendiri

2. menganggap amalnya sudah banyak melebihi manusia lain.

3. lupa terhadap salahlaku atau dosa-dosanya.

Dan sesuatu yang perlu kita semua tahu, UJUB adalah berbeza dengan sifat sombong. Kerana sombong adalah sifat seseorang dimana ia hanya dengan dirinya tetapi tidak sampai memperlekehkan orang lain.

Antara jenis-jenis UJUB ialah:

1. UJUB dengan fizikalnya, iaitu dengan merasa dirinya lebih baik, lebih cantik, lebih kacak, lebih hebat, lebih bagus, lebih ilmunya, lebih isinya, lebih segala-segalanya.

2. UJUB dengan kekuatannya, iaitu dengan merasakan diri lebih kuat hingga tidak perlu kepada bantuan orang lain. Allah تعالى ada berfirman dalam surah Fussilat : 15

"Adapun kaum ‘Ad, maka mereka bersikap sombong di muka bumi tanpa sebarang alasan yang benar, serta berkata,  Siapakah yang lebih kuat daripada kami?” 

Dan tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah Yang menciptakan mereka (dari tiada kepada ada) adalah lebih besar kekuatanNya daripada mereka? Sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan Kami (sedangkan mereka mengetahuinya)

3. UJUB dengan kebijaksanaannya, iaitu dengan merasa diri lebih cerdas dan lebih pintar, lebih kreatif, lebih dikagumi, lebih besar impak sesuatu kerjanya kepada orang lain, lebih tinggi pangkatnya dan lain-lain.

4. UJUB dengan nasabnya (keturunannya), iaitu dengan merasa keturunannya lebih baik. Keturunannya lebih mulia. Keturunanya lebih kaya. Keturunanya lebih berilmu. Keturunanya bukan calang-calang orang.

5. UJUB dengan hartanya, iaitu dengan merasa dirinya lebih kaya dan lebih mampu miliki sesuatu daripada orang lain.

6. UJUB dengan pendapat yang salah, iaitu dengan merasa dirinya paling benar walaupun sebenarnya dia salah.

Dan mohonlah kita-kita semua ini agar dijauhkan dari segala enam jenis sifat UJUB ini. Kita-kita semua ini harus berusaha menjauhkan dari sifat-sifat seperti ini. Takut kalau-kalau nyawa hanya terlekat seketika cuma.

Oleh itu, nilailah diri sendiri.

Antara sebab-sebab UJUB ini, antara lainya ialah:

1.        Berteman dengan orang-orang yang selalu membanggakan dirinya
2.      Melupakan Allah sebagai Pemberi nikmat
3.      Terlalu bersemangat hingga melupakan hakikat Pemberi nikmat yang sebenarnya adalah ALLAH.
4.     Berlebihan dalam mengagungkan manusia atau berlebihan minta dikagumi manusia lain.
5.  Tagihkan puji-pujian orang lain dengan kebaikan,kelebihan dan kehebatnya.
6.     Terlalu kurang dalam mengagungkan Allah
7.        Faktor Persekitaran dan Keturunan
8.      Sanjungan dan Pujian yang Berlebihan
9.      Bergaul Dengan Orang yang Terkena Penyakit UJUB.
10.    Kufur Nikmat dan Lupa Kepada Allah Ta’ala
11.      Menangani Suatu Pekerjaan Sebelum Matang Dalam Menguasainya dan Belum Terbina Dengan Sempurna
12.    Jahil dan Mengabaikan Hakikat Diri (Lupa Daratan)
13.    Berbangga-bangga Dengan Nasab dan Keturunan
14.    Berlebih-lebihan Dalam Memuliakan dan Menghormati
15.    Lewat Merawat Kesengsaraan Yang Timbul dari Penyakit UJUB

Makanya, berusahalah kita-kita ini semua merawat penyakit ini iaitu dengan:

1.        Selalu ingat akan hakikat jiwa manusia
2.      Selalu ingat akan hakikat dunia dan akhirat
3.      Selalu ingat akan nikmat-nikmat Allah
4.     Mengingatkan kematian
5.      Membaca dan menghayati ayat-ayat Al-Qurán
6.     Selalu ingat dengan orang-orang yang sakit,lemah ataupun lebih rendah atau dibawah kita
7.      Memutuskan hubungan dengan orang-orang yang membanggakan dirinya dan mencari orang-orang yang baik, selalu mengingat Allah dan zuhud.
8.      Berdoa kepada Allah agar kita dijauhi dari sifat ini.

Dalam usaha mencari makna sebenar UJUB, gigih D mengoogle berkenaan UJUB ini. Dan terbaca tentang ini bila mana salah seorang ulama salaf pernah berkata: “Seorang yang UJUB akan tertimpa dua kehinaan, iaitu akan terbongkar kesalahan-kesalahannya dan akan jatuh martabatnya di mata manusia lain.”

Seterusnya terbaca ini pula, iaitu salah seorang ahli hikmah berkata: “Seseorang yang terkena penyakit UJUB ini, akhirnya ia tergelincir dalam kesalahan kerana keUJUBan terhadap diri sendiri.

Suatu ketika seorang ingin mengangkat dirinya, maka Imam Syafi’i pun membantahnya sambil berkata di hadapan khalayak ramai:
“Barang siapa yang mengangkat-angkat diri sendiri secara berlebihan, nescaya Allah سبحانه وتعالى  akan menjatuhkan martabatnya.”

Oleh kerana itu, kita-kita semua ini kena berhati-hati dalam menghadapi kemungkinan penyakit ini dari berada dalam kehidupan harian kita semua. Takut untuk D ketahui akan nahas akibat dari sifat UJUB. 





2 comments:

  1. Makasih tulisannya sist

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama.... moga kita sama2 dapt sedikit kebaikan daripada tulisan ini~

      Delete