26 December 2012

~duaRIBUduaBELAS~




Akhiran 2012 membawa pengertian yang paling bermakna. Dan mungkin, untuk selepas ini pengertian-pengertian lain memberi erti yang sebenarnya erti. Tapi, untuk detik kiraan ini, 2012 mengimpak lebihan erti untuk dinikmat kenang-kenangkan.

Seawal tahun dilimpahi pelbagai musibah silih berganti. Kecelakaan demi celaka menunjal wajah hingga membenam semangat. Waja nya impian kian menipis mengenang satu persatu kesayangan D di rundum celaka kemalangan.

Bermula dengan kecelakaan B yang membawa kecacatan tangan seumur hidup. Urat dan tulang temulang berganti besi, hilang upaya diri hampir 5 purnama. Tempoh ketidakupayaan itu sebenarnya terlalu banyak memberi D sama B mengenal kenal sebenar sebuah perhubungan. Mengenal kenal erti kehidupan.




Bersama tempoh ketidakupayaan diri B itu, D tikam hunus parang dan pedang si lahanat durjana sehingga membawa kepada pengakhiran bekalan periuk nasi mendatang. Tidak mengapalah, untuk peristiwa itu biar hanya ALLAH memberi ajar untuk manusia sejenis itu. Sungguh, peristiwa itu mengajar D untuk berhati-hati dengan kawan bertopeng manusia tetapi berperut busuk hapak dan hancing. Sungguh, untuk peristiwa itu, D diberi ajar untuk sentiasa beringat-ingat dalam menolong sekalian sekelilingan yang ada. Sungguh, D diberi ingat agar mendidik diri hilangkan segala dendam dan dijauh mendoa keburukan untuk mereka-mereka berhati buruk. Dan sungguh, untuk peristiwa itu, D diberi nikmat hidup yang sekarang ini.

Selang sepurnama, lelaki pertama kesayang D terdampar lemah di jalanan. Abah pula mengalami kemalangan semasa pulang dari kerja. Sekali lagi emosi di uji hebat. Kekebalan semangat menipis terus melihat dengar erangan sakit abah. Dan untuk kesakitan ini, sekeluarga dekat kami bersama menjadi satu. Sakit itu juga sakit kami semua. Melihat sakitnya abah, melihat tenangnya ibu, melihat matangnya along, melihat kasihnya angah, melihat sayangnya anje. D menjadi lebih kuat untuk setiap yang disakitkan ini.



Bersama doa mencari peluang pekerjaan di tempat sendiri yang tidak kunjung menjengah. Bersama sibuknya diri mempersiapkan majlis peralihan status diri. Sekali lagi jiwa D hampir luluh apabila dua dewi kesayang D ditimpa kecelakaan jalan raya. Menggeletar seluruh urat, berkaca mata melimpah tanpa sempat diucapkan sepatah kata. Ibu dan anje pula ditimpa malapetaka. Berkali-kali ditimpa ujian kecelakaan jalanan untuk tempoh yang dekat ini, tiada ada apa lagi kewajaan hati yang tinggal. Hanya sisa hembusan hingus yang disiatkan ke bahu baju. Tabah. Sudah acap kali dihimpitkan minda dengan satu kata itu. Ya, hati-hati kami semakin ampuh menjadi bulat membentuk satu kata yang sama. Ya, jiwa kami semakin teguh menyatu. Ya, semangat kami semakin kuat berwaja. Semua ini kerana hikmah di setiap celakanya peristiwa ini. Dimana segala hati yang terkecamuk terus kukuh bersatu teguh. Segala rasa hasad hilang melenyap hanya melihat pekatnya darah anje yang mengalir di jalanan. Hilang terus hanya dengan teriakan sakit anje. Dan maaf untuk anje, kerana untuk melihat dapat hikmah ini, banyak yang perlu dikorbankan beliau. Untuk ayang, untuk, angah, untuk along dan untuk seluruh kami-kami ini yang sering meresahkan tenangnya impian, hendak dan mahu mu duhai satunya adik milik D dunia dan akhirat ini.




Menghampir dekat detik peralihan status menjengah. Satu persatu persiapan mendapat celaka. Kad kawen di tipu si celaka. Berjuraian si air mata berserta hingus menghadapi kisah ini. Mulut mahu memaki, bicara diam mengutuk hebat namun hanya terluahkan di pantulan cerminan wajah. Hamunan terluahkan ke wajah sendiri-sendiri. Berserta pula perkhidmatan butik perkahwinan yang melingkupkan harta benda tak mahu berganti. Janjian tertabur tidak tertunai. Segalanya menyesakan nafas terhembus. Dan kini, si jurufoto pula cuba berlaku sama dengan mereka-mereka yang lain. Lebih empat bulan bergelar isteri, album dan kepingan wajah tak terlihat jelas. Segala jenis cengkeram bernama bayaran tertunai sudah. Atau mungkin 2012 ini tahun diri ditipu dustakan mereka mereka ini? Untuk meredha kan setiap yang terlakukan mereka ini adalah tidak mungkin dan mustahil oleh hati yang jarang berfikiran baik ini. Maaflah!




Dan di akhiran tahun ini juga, bahagia D sedikit di rentap kasar bila jasad dalam kandungan tidak sanggup bersama di dunia ini. Sedih dan sakit hanya DIA yang tahu. Hanya DIA juga yang Maha Menguatkan. Dan Alhamdulillah, untuk saat ini, jiwa telah pun teredhakan sama perginya cinta milik kami itu. Semoga cinta kami itu nanti teguh menanti di syurga kelak.




Mengenang kenang si pahit memalit sekalian itu semua, cepat-cepat si manis menjengah ke pemikiran untuk di kenang kenangkan. Setiap yang diberikan hitam pasti ada putih yang terjelmakan dalam mengisi kehidupan. Masakan Pengadil kehidupan tidak memberi putih sedangkan hitam terpalit sudah. Dan segala hitam memekat itu di beri putih cahaya yang berlipat ganda untuk di nikmat rasakan. Alhamdulillah!

Rasanya hampir 90% azam di awalan tahun tertunai sudah. Dan peratusan yang tinggi itu mungkin kerana D diajar untuk selalu menyukat baju di badan sendiri. Hanya yang difikirkan mampu sahaja boleh di angan-angankan.

Bergelar isteri sudah, memiliki pacuan sendiri sudah, melanjutkan pelajaran berserta terimaan biasiswa pon sudah, berjawatan di negeri kelahiran juga sudah.

bergelar isteri sudah!


miliki pacuan sendiri sudah!

melanjutkan pengajian sudah!

berjawatan di tempat kelahiran sendiri sudah!

Hanya itu yang terazamkan. Hanya itu yang terimpikan. Hanya itu yang tercitakan. Cukup hanya itu. Dan hanya itu juga yang tersempatkan untuk di nikmat milikan. Terima kasih ALLAH. Untuk diberi peluang menikmat rasa segala yang diberikan.


Selamat datang 2013.

Selamat singgah 2013. 

Selamat ke mari 2013.

Selamat menjengah 2013.

Datanglah dengan tenang, singgahlah dengan hebat, ke mari lah dengan indah, jengahlah dengan limpahan rezeki.


No comments:

Post a Comment