7 December 2012

ampunkan bonda!!!



Ampunkan bonda sayang,
Kerana gagal lindungi mu dengan selamat dalam rahim kandungan bonda,
Kerana tak sempat tunjukan dunia untuk di nikmati mu sayang.

Ampunkan bonda sayang,
Kerana tidak mampu pelihara selamat mu hingga detik sembilan purnama, bonda terhutang baki tujuh purnama dengan mu sayang. Lapan minggu yang berkesempatan itu masih belum puas di nikmat bonda sama ayah akan hadir mu sayang. Sehingga detik ini, bonda terlalu rindu untuk rasai hadir kamu. Sungguh, untuk rasai detik punyai satu jasad lain dalam diri bonda, itulah rasa bahagia yang tidak pernah bonda rasai sebelum ini. Terima kasih untuk sudi biarkan bonda lalui bahagia itu sayang.



Ampunkan bonda sayang,
Kerana hilangkan bahagia bangga ayah akan hadir kamu. Bonda bukan sahaja gagal menjadi bonda yang baik,malah gagal juga menjadi isteri yang baik untuk ayah kerana telah mengalirkan resah jiwa serta deraian air matanya. Ayahlah orang paling gembira dengan berita hadir kamu sayang, terlompat girang tanpa hirau mata memandang lakunya. Hingga tidur lenanya sentiasa berhias senyum. Sering ayah bisikkan ke capang kuping bonda akan ketidaksabarnya ayah untuk lihat sayang membesar dalam perut bonda. Sering ayah merungut lihat perut bonda masih leper tidak membuncit. Saat itu, ayah akan terus belai kamu sayang, dengan ungkap segala rasa cinta nya untuk kita sayang.

Ampunkan bonda sayang,
Kerana tidak sempat lahirkan sayang, tidak sempat peluk cium dan belai sayang, tidak sempat mengagah hibur sayang, tidak sempat untuk segala yang ayah dan bonda angankan.
Untuk susukan sayang dengan susu bonda sendiri, untuk lihat langkah pertama sayang, untuk dengar ungkap sayang menyeru ayah bonda, untuk masak suapkan makan ke mulut sayang, untuk pakaikan seragam sekolah sayang, untuk ubatkan luka akibat jatuh basikal sayang, untuk hiaskan sayang berjumpa kekasih hati, untuk hadir ke graduasi sayang kelak. Untuk segalanya yang dilakukan opah dan atuk buat ayah bonda selama ini.
Bonda tak sempat rasai segalanya itu untuk sayang.
Ampunkan bonda sayang,
Ampunkan segala khilaf bonda selama lapan minggu sayang di rahim bonda.
Ampunkan sibuk bonda tanpa punya rehat yang cukup buat sayang.
Ampunkan resah bonda untuk sering memikirkan masalah yang bertandang.
Ampunkan lalai bonda yang sering alpa akan hadir sayang.
Dan dengan nama ALLAH S.W.T, telah bonda halalkan segala letih, loya, lesu, dan resah yang tersempatkan untuk dilalui bonda.

Mohon dinantikan ayah bonda di jannah kelak…

1 comment:

  1. sbr dear.. Insha Allah rezeki akan ada lagi.. *hugs* Kak Nani

    ReplyDelete