Fasa ke dua di tahun 2011 telah pun melangkah pergi. 2011 tahun yang penuh dengan cabaran, kemelut, dugaan dan penentu arah untuk ke peringkat seterusnya. Ke aras yang lebih tinggi daripada yang sebelum ini atau dengan kata lainya, ke lekuk yang lebih dalam yang lebih liku lorongnya. Melepasi fasa pertama yang merupakan semester terakhir bergelar pelajar di varsity hebat ini, sudah cukup indah buat kenang kenangan di usia akan datang.
Lega menatap dengan jelas nama penulis di tulang kulit tebal syarat bergelar graduan. Sungguh, terasa hilang lelah menghadap tulisan di papan kekunci, hilang lenguh sendi berkejaran mencari maklumat asli memuatkan dalam karya sulung ilmiah milik sendiri. Hasil 168 muka bersama lampiran sudah cukup merasakan kembang didalam jiwa, mekar didalam sanubari. Biar ada yang lebih hebat, biar ada yang lebih jaguh di laman kuliahan, namun kembang hati masih bersisa melihat kelahiran anak pertama ini. Tiga tahun bertatih, jatuh terduduk tersungkur menyembah bumi telah mengajar diri mengenal lelah dan penat mencari mutiara ilmu.
Syukur untuk terus dikurniakan manusia hebat yang mulia pekerti budinya. Alhamdulillah, miliki penyelia sehebat belia, DR. AZHARUDIN MOHAMED DALI. Sesungguhnya, pekik jerit, jentik pukul dan tegur ajar manusia hebat ini telah membuahkan A- seterusnya menjadikan lebih selesa memiliki nilai CGPA untuk bergraduasi menjelang tanggal 7 Oktober 2011 di pagi jumaat yang baraqah kelak.
Buat teman teman seperjuangan yang sentiasa disisi, masih disisi dan ada juga yang telah hilang dari sisi gelap selama 3 tahun bertatih mengenal luas dunia, terima kasih. Nilai sebuah yang dinamakan teman temanan buat diri lebih bernilai kerana adanya teman teman bernilai hebat seperti kalian.
Berakhir sudah diri bergelar pelajar menjelang berakhirnya fasa pertama di tahun 2011. Alhamdulillah kerana tidak perlu menjadi beban tanggungan keluarga apabila melalui peralihan status pelajar bergelar seorang pekerja kini. Alhamdulillah, terlalu lurus jalan yang KAU kurniakan buat insan lemah dan lemau seperti hamba MU ini. Namun, sedar dengan hakikat bahawa, lurus lorong, sihat kesihatan, kaya harta, cantik wajah dan bahagia jiwa juga sebenarnya ujian. Menyedari itu, menjadikan langkah diatur dengan lebih hati hati dan mahu lebih teratur.
Kini, hampir tiga bulan bergelar seorang pekerja, baru kenal resah kiraan mencongak perbelanjaan. Hitung kira semakin rancak merencana jumlah ringgit Malaysia dan dolar USD yang harus dilansaikan. Memikul sebeban tanggungjawab, berserta keinginan dan keperluan memenuhi nafsu haraqah menjadikan hitung kira perbelanjaan berada di luar garis pendapatan. Itu belum di campur tambah darab dengan ansuran si Pinky_blacky berserta hutang piutang memenuhi keliling lutut.
Rupanya lebih hebat liku, keluk, jalan, dan lorong kehidupan apabila semakin berganjak dewasanya usia. Semakin besar bongkah membebani tanggungjawab. Semakin pendek usia bersisa. Semakin banyak mengenal manusia. Manusia yang luhur hatinya, yang busuk jiwanya, yang indah perkertinya, yang jelek laku bicaranya, yang hebat karismanya, yang compang aturan langkahnya. Dan suatu telah mengajar diri bahawa semakin banyak ilmu di gali memenuhi ruangan dada, semakin cetek akal di minda, kerana ilmu itu harus terus digalicari sehingga detik terakhir nadi berdenyut.
Memikirkan susahnya dunia mengukuhkan ekonomi, mengenangkan indahnya zaman menegguk ilmu dari ilmuan dunia telah menjadikan tekad semakin bulat buat terus menegguk apa yang dikatakan ilmu.
![]() |
| tiada harga buat tawar menawar dan beli jual |
![]() |
| masih gagah |



No comments:
Post a Comment