Semakin diri mencari kesempurnaan,
semakin terlihat ketidaksempurnaan.
Semakin diri mencari kenikmatan, semakin
diri menghampir kejahilan.
Semakin diri mencari keindahan, semakin
terserlah kecacatan.
Melihat lorong di permulaan jalanan, melihat diri
tergapai resah. Masih sama seperti dahulu, sama di permulaan jalanan, sama
seperti di persimpangan keliruan, sama juga di akhir ceritera garisan. Masih
sama seperti dahulu, indah liku bersama keringat air mata dan tawa bahagia.
Sehingga kini, biar masih lemah iman, masih kurang
tauhid kepada yang SATU itu, dan kadang kala masih juga terpesong akidah. Entah
dari sudut mana kurang didikan dan asuhan guru agama. Diri sentiasa kurang
segalanya. Namun, biar kurang iman di dada, rasa syukur sentiasa bersarang
disanubari.
Syukur, menadah tangan menghadap ilahi. Dilahirkan
sempurna,punya keluarga sempurna, dan diberi didikan sempurna. Sehingga ada
yang melihat lurus dan terus jalan hidup di setiap lorong milik aku, tanpa ada
lopak bersama hanyir longkang membusuk. Melihat dari sudut mata kasar, ya.
Mengakui kesempurnaan segala milik aku. Tersenyum tanpa perlu paksa dengan
sumbing di bibir. Biar cacat dan compang camping kita, kita sendiri rasa tanpa perlu dilihat tatap selain kita.
Biar tak miliki otak yang genius, namun masih bisa
menjejak kaki ke menara varsiti. Biar tidak punya aset di bursa saham, namun
masih ada yang menyayangi. Biar tak miliki wajah setampan Erra Fazira dan
bentuk tubuh segagah Fasha Sanda, namun masih ada yang sudi memuji.
Namun, memulakan hidup sebagai dewasanya insan
tidak semudah angan di bangku sekolah dahulu. Mengorak langkah sebagai
dewasanya insan tidak seindah mimpi di malam-malam dingin. Menjalani hidup
sebagai dewasanya insan tidak semanis impian si gadis menanti putera idaman
berkereta kuda datang melamar.
Pengharapan dalam memulakan perjalanan sebagai
seorang dewasanya insan, agar pendoa tegar yang acap mengaminkan kesejahteraan
di akhir sujud solat masih terus berdoa untuk aku. Agar jalan dan lorong milik
aku masih nampak lurus tanpa adanya lopak bersama pekat becak memercik wajah.
Agar lorong jalan hidup disinari kelam cahaya bersama teguhnya iman di dada.
Agar diri tidak lagi lemah dalam akidah mencari redha ilahi. Agar hati tidak
goyah seperti apa asalnya impian dan cita-cita di hati.
Duhai pendoa tegar, teruslah berdoa dan mengaminkan
sejahtera lorong jalan hidup ini. Kerana usaha yang sedikit ini sering ampuh
menongkah liku perjalanan bersama doa kalian, wahai pendoa tegar.

No comments:
Post a Comment