16 June 2013

::selamatHARIabah::


Bicara D pasti hilang kalau ia berkisar tentang abah. Hujah D pasti lunyai tanpa sempat terkeluarkan suara. Walau apa pon dosa yang terlaku D, abah antara yang paling cepat terima maaf ampunan D.

D pernah dibiar mengatur hidup sendiri sambil dipantau dari kejauhan. Bila menyedar D jauh tersasar dari matlamat impian beliau, abah cepat cepat menarik tarik tangan D ke laman permai. Walau tika itu hati bertingkah dengan emosi mahu terus mengejar seronoknya remaja. Saat itu, belum terfikir dibenak akal akan bijaksananya abah. Setelah kini, bergraduasi, berkerjaya sibuk, berkereta roda, berduit gajian, dan boleh menghulur belanja sedikit sedikit. Baru D sedar akan tingkah abah adalah yang paling benar. Sehinggalah di atas pentas graduasi, tika terimaan skrol tanda berijzah. Lafazan hati, hanyalah “Alhamdulillah, terima kasih abah”.

Lebih dua tahun lalu, membiar abah bicara dengan B dan seisi keluarga akan laluan jalanan yang sama kami rencanakan berdua. Abah paling diam. Paling mendengar.

Paling haru, malam sebelum dinikahkan. Abah tarik lembut tangan D. Bicara berdua dalam bilik pengantin indah D. Abah mohon untuk selepas esoknya, D perlu patuh segala hendak B. Walau mungkin hendak itu nanti jauh dengan mahu abah. Walau bagaimanapon untuk selepas di isterikan nanti, abah tetap mahu D jadi anak paling manis untuk abah. Dan abah ikhlas lepaskan D. Ikhlas biar D membagi kasih untuk mertua. Kata abah “martabat mertua sama macam ibuabah sendiri,jaga hati keduanya lebih dari jaga ibuabah. Ampun maaf mereka menentu derhaka mulia D sebagai seorang anak. Dan untuk selepas ini, kalau ditinggal abah terus, dilebihkan sayang untuk mertua sekalipon abah tak kan pernah untuk menderhakakan anak sendiri”. Abah peluk D. Abah cium kiri kanan pipi D. Lama abah kucup dahi D. Paling hening. Paling pilu untuk detik ini.

Sehingga esoknya, Abah paling sibuk mengurus atur acara majlis D. Abah akan cepat lari dari pandang wajah D. Sehingga lah ke masjid untuk dinikahkan. Abah pimpin tangan D. Sama seperti abah pimpin D masuk ke kelas 1 Melur 18 tahun lalu. Membawa D duduk simpuh ke tempat sepatutnya seorang pengantin. Untuk kali akhir D mutlak abah, abah cium dahi D paling lama. Tanpa bicara,tanpa memandang. Kemudain terus berlalu menghadap kadi untuk menikahkan anak paling manis beliau.

Ingat lagi, semanis apa sekalipon air bancuhan D untuk abah, tak pernah air lebihan ditinggalkan. Seteruk apa pon keputusan peperiksaan D, tak pernah dijatuhkan air muka D dihadapan siapa pon. Segarang warna apa pon baju untuk abah D pilihkan, tak pernah ia langsung tak tersarungkan ke badan abah. Selambat mana pon abah tangguhkan minta mahu D, Abah tetap usaha segalanya termilikan oleh pinta D itu.

Selamat hari abah untuk abah D yang paling kacak.

Juga untuk abah mertua, untuk hampir 10 bulan bermertuakan abah. Hampir 10 bulan ini juga D berusaha sebaik pasti bukan sekadar sebagai menantu abah. Meskipon bukan anak yang paling manis untuk abah, tetap mahu untuk jadi anak perempuan abah dunia dan akhirat.

Selamat hari bapa untuk seluruhan bapa-bapa segenap benua.

paling haru

No comments:

Post a Comment