27 January 2015

ROTAN ANAK BAKAL JADI KESALAHAN JENAYAH


KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT
ROTAN SEHINGGA MENYEBABKAN KECEDERAAN FIZIKAL ATAU EMOSI KEPADA KANAK-KANAK
1. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ingin merujuk kepada liputan media berkaitan tindakan merotan anak menjadi kesalahan jenayah yang disiarkan oleh akhbar pada hari ini (25 Januari 2015) berdasarkan sidang media pada 24 Januari 2015 di Shah Alam.
2. Dalam sidang media tersebut, YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi penerangan bahawa cadangan di dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu akan merangkumi perkara-perkara berikut:
i. Penyertaan kanak-kanak selaras dengan prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (Convention on the Rights of the Child, CRC);
ii. Pemansuhan hukuman sebatan ke atas kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang (melakukan kesalahan jenayah);
iii. Peruntukan baharu yang membolehkan pelaksanaan konsep diversion; dan
iiii. Peruntukan baharu mengenai pelaksanaan deinstitutionalisation.
3. Pada masa ini seksyen 91 (1) (g) dalam Akta Kanak-Kanak 2001 membenarkan seseorang kanak-kanak lelaki dikenakan hukuman sebatan tidak lebih daripada 10 kali sebatan apabila disabitkan dengan kesalahan melakukan jenayah. Dalam hal ini, hukuman sebatan di Mahkamah adalah berbeza dengan hukuman merotan sama ada di sekolah atau rumah. Hukuman sebatan di Mahkamah dilakukan secara teratur mengikut prosedur yang ditetapkan undang-undang. Walau bagaimanapun, atas alasan perkembangan psikologi dan selaras dengan CRC Kementerian bercadang untuk memansuhkan hukuman tersebut.
4. Selaras dengan cadangan pemansuhan hukuman sebatan di Mahkamah tersebut, Kementerian telah meneliti perlakuan merotan kanak-kanak di kalangan masyarakat Malaysia. Pada masa ini, peruntukan yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu bukanlah bermaksud supaya setiap perbuatan merotan menjadi kesalahan jenayah.
5. Perlakuan merotan, sekiranya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau mental boleh terjumlah kepada melakukan kesalahan jenayah. Di bawah undang-undang sedia ada pun, sebenarnya perbuatan itu telah dijadikan suatu kesalahan di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau denda tidak melebihi dua puluh ribu atau kedua-duanya.
6. Kementerian sedang meneliti dan memperhalusi cadangan untuk memasukkan peruntukan undang-undang yang lebih terperinci supaya apa-apa perbuatan kepada kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi kepada kanak-kanak merupakan suatu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara atau denda yang lebih tinggi. Di samping itu, Kementerian juga mempertimbangkan untuk mengadakan hukuman alternatif seperti khidmat masyarakat atau kaunseling atau kursus ke ibubapaan.
7. Selaras dengan amalan konsultasi dan engagement secara berterusan dengan semua stakeholders dan
pihak berkepentingan, Kementerian ini akan meneruskan tradisi tersebut dalam penggubalan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak ini.
Disediakan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Aras 35, No. 55, Persiaran Perdana, Persint 4,
62100 Putrajaya.
No.tel: 03-8323 1087


D percaya, bukan seorang dua mak bapak yang melompat berkenaan isu rotan anak menjadi kesalahan jenayah terhadap ibu bapa yang sedang hangat di bahaskan di media sosial sekarang ni. Malah, daripada menteri di parlimen hinggalah cikgu-cikgu di sekolah, para pendakwah Islam, seterusnya golongan rakyat marhaen ada pendapat yang tersendiri untuk persoalan ini. Untuk D sendiri, yang dibesarkan dengan cubit,denda dan rotan, ia adalah suatu yang perlu dalam mendidik. 

Entah dimana relevennya undang-undang baru ni pon D tak dapat nak hadam, padahal baru je lagi tahun lepas kita rakyat Malaysia bermati-matian mempertahankan sepasang suami isteri rakyat Malaysia yang merotan dan mendenda anak-anak mereka tidak solat di tangkap dan di penjarakan di Sweeden. Berkenaan isu ini, D antara yang paling tersayat emosi, apatah lagi Puan Shalwati merupakan rakan baik officemate D, yang selalu mendendangkan cerita kenangan dan memori beliau bersama Puan Shalwati, yang sedikit warak sebenarnya, yang garang tapi penuh dengan sifat keibuan. Yang pada pandangan D dan juga seluruh rakyat Malaysia khasnya, merasakan hukuman yang diberikan si Ibu pada anak itu adalah sesuatu yang wajar, yang terlalu biasa dengan latar belakang kehidupan kita di Malaysia. 

Bercakap tentang hukum, hadis dalam Islam D bukanlah orang yang selayaknya. Tapi terlahir sebagai Islam, mahu tidak mahu sedikit sebanyak perkara yang berkaitan dengan ini memang menjadi rujukan utama para ibu bapa. D sendiri yang dihantar ke Tadika Pasti,Trong (Perak) telah awal terdedah berkenaan hukum merotan anak yang meninggalkan solat. Ustazah D sampaikan berkenaan isu ni untuk kami yang berumur 5 & 6 tahun dalam cara yang santai. Langsung terus tertanam dalam benak masing masing. Pertama, kami di ajar doa kepada kedua ibu bapa. Doa yang wajib dibaca dengan kuat serentak seisi kelas. Daripada doa itu, difahamkan D dan rakan-rakan akan maksud dan erti kata disebalik doa itu. 

“Katakanlah: wahai Tuhanku kasihanilah kedua mereka (ibubapaku) SEPERTI mana mereka membesarkanku semasa kecil”.

Dari doa ini, kami dijelaskan dengan kasih dan sayang terhadap kedua ibu bapa. Malah kasih dan sayang dari ibu dan bapa ini sebenarnya tak perlu langsung diterangkan pun, tapi yelah dan namanya budak tadika kan? Haruslah selalu rasa tak puas hati kat mak ayah bila ada kehendak dan kemahuan yang tak di tunaikan. Tapi time ni, rasanya otak D dah berhubung jugak lah, sebab rasanya simple je pon. Mak ayah adalah orang yang paling sayangkan kita anak-anak atas muka bumi ni, tak kan ada orang lain yang boleh cintakan anak dia melainkan mak bapak itu sendiri. So, kalau mak ayah marah, mesti ada sebab. Mak ayah tak kan senang-senang nak susahkan hidup anak-anak, tak kan senang-senang nak sakitkan anak-anak. Padahal merekalah yang sanggup bersusah payah, bersakit-sakit asalkan anak-anak aman bahagia. Its simple rite?

Tak payah nak cakap pasal hukum dan hadis pon benda ni dah rasa macam simple and senang sangat nak hadam. Mana ada mak bapak yang sesaja nak sakitkan anak, (bacaan mak bapak yang normal akal fikiranya). Berbalik pada ajaran Islam, Al-Quran sendiri mengajar cara mana mahu memukul dan menghukum anak-anak. Dan D jugak percaya, setiap kita manusia ni punya tahap kesabaran yang tersendiri, tak semua punya sabar level 499 candy crush, terkadang anak merengek-rengek time badan letih sehari suntuk kerja luar dengan panas terik mentari, mintak mainan yang dah belambak ada dalam bakul mainan, siangnya pulak kena saman masa otw nak balik rumah sebab memandu laju semata-mata nak ambil anak dari rumah pengasuh awal (kalau lewat kena charge RM10-RM20); haruslah terjentik jugak telinga budak tu kan? Paling tidak pon, tinggi jugaklah lontaran vokal mak ayah time tu.

Tapi kalau dah undang-undang mula mainkan peranan dalam perilaku anak-anak dirumah, mana lagi nilai hormat anak pada mak bapak? Jangan pulak ada yang tak percaya, lepas ni mak bapak pulak yang takut dengan anak-anak. Jangan tanya jugak kenapa lepas ni makin bercambah segala salah laku jenayah remaja. Semuanya kita salahkan penggubal undang-undang, kerana anak-anak langsung tak boleh diberi ajar sedari kecil, hingga besar melakukan kesalahan pon dah tak boleh nak di lentur apa lagi dah. Bila anak-anak mula dah tak boleh dilentur lagi, marilah kita rakyat Malaysia hantar anak-anak ke rumah mak cik kening halus berkenaan. 

Bagi D, tak perlu pon nak gubal or pinda undang-undang berkenaan ni, tapi ni untuk mak bapak yang waraslah. Jangan lah nak kaitkan isu adik Firdaus yang kena kurung dengan mak dia Puan Lola dulu tu, tu kes mak tak waras. Kes-kes terpencil macam ni memanglah wajar mak dia di gelar penjenayah, dah memang kerus kering anak dia tu tak di bagi makan. Tapi rata-rata mak-mak lain kat Malaysia ni, semua sanggup tak beli baju cantik dan dan kasut tinggi tiap-tiap bulan asal permintaan anak nak makan kat tempat best-best dapat ditunaikan walaupon sebenarnya makanan kat rumah pon belambak lagi dalam gobok. Tapi sebabkan anak, di ikat nafsu nak berkasut baru setiap bulan. 


Bab merotan ni sebenarnya dah jelas ada dalam al-quran. Bukanlah nak mengata mak cik kening halus ni tak reti baca al-quran, tapi tafsir al-quran kan ada. Kot tak reti bahasa melayu, banyak bahasa lain semua ada. Duit beli rantai mutiara ada, tak kanlah nak beli tafsir al-quran tak boleh. Ye dak?



Yang sebenarnya bila ingat-ingat balik kenangan kena rotan dan denda sebenarnya banyak memberi impak positif dalam diri D. Tak tau lah untuk orang lain kan.

D ingat lagi, teruk D, Along, Angah, Yong dan Nyah ( sepupu D) kena libas dengan tali pinggang Aki (Datuk) sebab mandi sungai sehari suntuk. Time tu mak lang (ibu Yong dan Nyah) bersalinkan Kak Yang, baby dah boleh balik, so ibu dan abah D pergi ambik baby kat hospital. Masa nilah Along sebagai ketua merangkap yang paling tua dalam kami adik beradik (masa ni cucu Aki baru enam orang, termasuk kak yang yang baru lahir). Nilah kesalahan paling epik sekali kami lakukan beramai-ramai. Jenuh satu kampung Aki cari kami berlima. Dan yang bagusnya bukan kami tak tahu Aki tengah cari, sebab boleh kenal enjin motorsikal Aki tu, bila dengar je enjin motor Aki, kami cepat-cepat selam kepala dalam sungai. Bayangkan kami menyusur sungai ni dari satu hilir hingga ke hulu. Hoiii memang kecut habis semua. Dan bila balik, tu pon sebab Nyah lapar sangat, tengok arwah Opah dah menangis-nangis ingatkan kami betul-betul hilang. Sikit lagi je nak report polis. Terus hidang nasik, tapi tak sempat nak suap ke mulut dengar enjin motor Aki, yang baru balik dari mencari kami berlima. Yong terus menyorong tepi mesin jahit. Nyah awal-awal lagi menyorok belakang opah. Along sebagai ketua geng haruslah kena tibai dulu. Diikuti angah, D dan Nyah. Last sekali baru Yong, tupon sebab Aki tak nampak dia menyorok tepi mesin jahit. Tapi dia lah kena libas banyak kali sebab sapa suruh menyorok kan? 

Tapi pengajaranya, kami berlima tahu sebenarnya Aki, Opah dan semua sayangkan kami. Risau kami hilang, kena culik ke, lemas ke dan macam-macam lagilah. Langsung kami semua masa tu takda rasa dendam dan marah pada Aki yang memukul. Langsung ibu,abah, p.lang dan m.lang tak terasa bila anak-anak kena pukul. Lepas tahu perilaku anak-anak, terus kami berlima dapat extra pulas telinga dari ibu. Sampai sekarang kami adik beradik selalu cakap telinga capang kami sebab kena pulas dengan ibu. Tapi bukan salahkan ibu pon, tu dalam nada gurau senda je.

Kali kedua pengalaman kena pukul D sebab tidor rumah kawan tak bagitau. Kali ni kena pukul dengan ibu sendiri. Pertama kali kena,pertama dan terakhir setakat hari ni. Masa ni darjah enam. Memang nangis kuat-kuat sebba sakit sangat kena libas dengan getah paip. Tapi memang D akui kesilapan D. Lepas kena libas, sakit-sakit badan ingatkan dapatlah cuti tak payah pergi mengaji. Tapi kene pergi jugak, dan pergilah D mengaji dengan mata bengkak sebab nangis. Tapi tulah, dah memang salah D pon sebenarnya, dah la ibu pesan angkat kain dulu petang tu, tapi D tak angkat pon. 

Kali ketiga pengalaman kena pukul,kali ni dengan abah pulak. Kesalahan D adalah ikot angah keluar dating kat taman permainan lepas tu kantoi. Dengan D sekali kena libas. Tapi tujelah sekali kena dengan abah.

Kat sekolah pulak banyak kena denda je, sebab tak hafal sifir, tak siapkan homework, keluar rehat awal, main galah panjang waktu p&p, makan jajan dalam kelas dan banyak lagi lah. Selalunye kene duduk tepi longkakng, berdiri satu kaki, diri atas kerusi. Tujelah, taklah sampai terukmana pon dendanya.

Tapi kesuluruhanya, takdalah meninggalkan kesan yang negatif. Semuanya meninggalkan rasa sayang dan kasih yang melimpah. Makin matang otak berfungsi, makin terlihat sayang dan cinta dari kesan denda dan libasan di tengah belakang. Memang langsung tak berparut mana, tapi rasa cinta yang ditinggalkan oleh pelibas-pelibas dan para guru yang mendenda adalah cinta agung yang membentuk diri D menjadi manusia hari ini. Dan yalah, memang tak berjaya mana pon D sebagai manusia, tapi sekurang-kurangnya D lepas jugak lah masuk Universiti Malaya, menyarung jubah graduasi. 

Untuk D, Selain lorong-lorong kehidupan, manusianya seseorang manusia itu adalah hasil didikan ibu bapa dan guru-guru. Pukul dan denda itu sebenarnya yang mematangkan seseorang manusia. Cubit dan parut libasan rotan sebenranya tanda cinta dan kasih.

Terima kasih untuk segala tanda cinta yang pernah inggap di belakang dan paha D. Sungguh, segalanya itu menjadikan D manusia yang adanya D hari ini.

Akhir kata,
Sayangkan anak tangan-tangankan,
sayangkan suami .................. (isi tempat kosong)



No comments:

Post a Comment